Orkid Melayu

Salam... Sekadar ingin berkongsi pandangan... pengalaman dan minat... "Sesuatu yang diimpikan tidak selalunya menjadi kenyataan tetapi apa yang tidak diduga berlaku dengan tiba-tiba, biarlah kita menangis hari ini kerana kesakitan semalam. Tetapi usah kita ketawa memanjang kerana kegembiraan, yang belum pasti untuk selamanya" Komen..amat dialu - alukan dan dihargai...

June 30, 2006

Erti Sarang Hati




ERTI SARANG HATI


Tika malam melabuhkan tirainya,

Matahari menggamit setia,

Kudilanda ribut kerinduan,

Hangat dalam kedinginan,

Biar semua melambai duka,

Aku tetap setia memutar memori,

Bagai setianya ombak mencium pantai


Gelisah...

Dalam sejuta keresahan,

Resah yang mencipta rindu dendam,

Hadir...

Kala benci mengundang.


Wahai angin bisikkanlah...

Terangkan gelora di sarang hati

Melambai, menggamit silih berganti


Dalam senyap dan sepi,

Diri mencabar kehangatan api,

Hatta air,

Tidak beda melempiaskan,

Api yang dicabar...

Tidak menjanjikan kehangatan hakiki,

Sekadar percikannya menjadi - jadi...

[Sajak ini ditulis ketika saya tingkatan 3.. Memang dalam maksudnya, dan menggambarkan isi hati saya.. Namun, terpulang kepada individu untuk tafsirkannya..]

Hari - hari yang membosankan...



Salam..
Owh..hari yang sama bermula lagi... Bangun.. Subuh.. Sediakan sarapan untuk adik lelaki..dan tidur lagi.. Huhu.

Kemudian, bangun.. Sarapan [Lunch sepatutnya]. All alone.. Mama dan ayah kerja.. Adik2 sekolah. Menghabiskan masa dengan menonton tv or buat sedikit
kerja2 surirumah
. Huhu~ Atau.. kalau sangat2 takde kerja.. buat projek memasak.. I love cooking.. But.. don't get me wrong! I'm not master yet.. Sikit2 bolehlar.. E.g moist choc cakes, muffins, puddings etc. Still in d learning process.

Hari ini, pergi amek Aiman dari rumah nenek. Bawak motor [takde lesen lagi..hehe]. Kali ni, saya bwk sdikit bhemah.. Sejak kejadian kena warning dek ayah gara2 laporan adik yang 'seram sejuk' bila naik dengan saya.. Huhu~ [Percaya tak saya digelar minah rempit oleh famili..]
Aiman memang sgt2 nakal. Geram betul! Selalu bgaduh dengan dia. Dialah pengkritik terhebat masakan saya. Tapi, dalam diam2 dia curi2 makan mskan saya. Isk2.

Hari ni, saya buat nasi goreng yg sgt2 simple untuk Aiman coz saya tau dia mesti takkan makan kat umh nenek.. Berselera dia makan.. Tapi tetap buat muka. Jgn haraplah nak dgr pujian dari dia.. Hish..malang sungguh bakal isteri dia.

Hari ni jugak hari pelaporan prestasi Aiman. Guess what?? Dia dpat no 33/34. Dahla kelas ke2.. Isk2. Malu betul.. Cikgu dia komplen dia ni sangatlah nakal dengan geng2 dia.. Hurm...ada tak sesiapa yng ada petua nk hilangkan kenakalan dia? Perangai dia amat2 berbeza dgn kakak2 dia. Mungkin juga dia seorang je lelaki dan anak bongsu. Hurm..spoil brat ler ni..

Malam pula, lps jemaah satu famili, ayah ajar ngaji kat Aiman dan my cousins [ yg saya consider sbg my own daughters..huhu]. Pastu, my cousin - Aishah [Darjah 1] n Ain [6 thn]belajar dengan saya.. Seronok mengajar budak2 ni..Diorg ada sorang lagi adik - Nani [ 3 thn]..sgt2 cute n manja.. Diorg bertiga mmglar rapat dgn saya.. Sgt.. sampai my family pggil diorg anak kesayangan KLong..Huhu.

Then, kitorg including 'my daughters' pergi makan nasi lemak. Tempat 2 cantik.. berlatarbelakangkan Singapura.. Macam bentenglar.. Kelakar sangat.. Macam ramai jer adik2 saya.. padahal 2 orang je..

Aishah n Ain taknak disuap Mama. Haha. Mama mencebik n kata "Menyampah!". Hahaha. So, saya ler suap. Seronok.. Tak terasa terganggu. Adik perempuan saya pun mencebik.. Jeles lar tu.. Hahaha.

Itu baru dengan cousin..Cuba bayangkan mesti lagi seronok kalo ada anak sendiri [wah2..dh pasang niat]. Tapi btol lar.. Saya sangat seronok melayan bdak2 kecik tapi.. dengan budak lelaki kurengggg or memang tak boleh.. Ntahler. Nakal n ganas sangat..

Buat masa ni..itulah rutin..selain mengadap komputer hingga pagi..

Warna - Warni Kehidupan....

June 29, 2006

23 HARI LAGI....


23 HARI LAGI…

"Yang indah itu pertemuan, yang manis itu kemesraan, yang pahit itu perpisahan, yang tinggal hanyalah kenangan..."

23 hari lagi untuk memulakan sem baru.. Hurm.. Perasaan? Bercampur aduk. Sem baru ni mesti terasa lain. Kenapa? Ada segelintir kawan yang pergi…meninggalkan UTP untuk terima biasiswa ke luar Negara… Alhamdulillah.. Tetapi sebagai insan biasa, saya memang terasa tempiasnya. Lebih – lebih lagi saya seorang yang amat sukar menerima perpisahan.. Pasti akan mengalir air mata…[ Perempuan katakan..].

Dalam situasi saya, kawan rapat saya, Nabiki, dapat tawaran ke Australia dalam bidang farmasi. Ya.. kami dahulu di SESERI tidak rapat malah amat jarang berbual tetapi apabila masuk UTP, jalinan menjadi sangat rapat.. Segala suka duka, rahsia dikongsi bersama. Kami berlima, Nabiki, Diela, Intan, Lana sangat rapat. Kami mempunyai rutin yang agak pelik. Hahaha. Akan ‘berkaraoke’ dan menari di bilik yang berbeza ketika malam. Bagi kami, inilah salah satu cara yang senang dan ‘tidak akan menimbulkan fitnah’ untuk berseronok.. Banyak lagilah perkara yang dilakukan bersama. Mungkin luarannya tidaklah kelihatan begitu rapat namun masing – masing mengetahui kisah dan rahsia masing- masing. Saya bersyukur ditemukan mereka di UTP. Lepas ni, takde lagilar adegan suap - menyuap masa makan [Huhu..manja kan]. Beak.. mesti ko rndu dgn suapan aku, kan?? Tidak keterlaluan dikatakan, mereka begitu peka dengan perasaan masing - masing sehinggakan saya sendiri tidak sedar bahawa saya berperasaan begitu.

Bukan Nabiki sahaja, malah ada juga beberapa rakan lain yang akan pergi. Salah seorangnya, seorang lelaki satu kursus dengan saya. Terus terang, saya memang selalu dikaitkan dengan dia ni oleh kawan2 yang memang suka mengusik. Entahlah… Tapi pemergian dia juga akan memberi kesan kepada saya. Tidak kisahlah jika dia turut berperasaan begitu atau tidak… Yang penting, saya hargai persahabatan yang terjalin antara kami walaupun hanya seketika kami sempat bertemu dan bermesra..

Apapun, hargailah persahabatan walaupun jarak mungkin jadi penghalang kerana persahabatan membentuk peribadi dan seterusnya membantu kita mencari diri…

There is a saying "A genuine friend cares without condition, gives without hesitation, understand without explanation n remembers without communication.."

Renungkanlah...

CINTA @ PERSAHABATAN ??


Hurm… ujian paling getir dalam usia remaja tentunya tentang cinta… Cinta membawa kepada kebahagiaan mahupun penderitaan. Cinta mampu mengubah manusia sama ada ke lembah yang hina atau landasan yang benar…

Tidak kiralah siapa… Semua mendambakan cinta yang suci dan kekal abadi…
Cinta merupakan fitrah manusia yang dikurniakan Allah.. Cinta juga merupakan ujian Allah kepada hamba – hambaNya..

Pengalaman saya… Saya akui bahawa saya memang gemar berkawan dan sangat menghargai persahabatan. Oleh yang demikian, setiap seorang kawan saya akan dilayan dengan baik. Tidak kira lelaki mahupun perempuan… Tiada niat yang tersembunyi… Dan.. sebagai gadis biasa, saya juga tidak terlepas daripada mempunyai perasaan terhadap lelaki. Namun, perkara ini akan menjadi konflik apabila rakan baik lelaki mula meluahkan perasaannya untuk menjadi lebih daripada sekadar kawan. Ya, saya hormati perasaan itu dan kagum kerana berani meluahkan perasaan. Saya sedar setiap orang berhak mencintai dan dicintai. Masalahnya, saya tidak mempunyai perasaan sebegitu atau perasaan itu belum lagi bercambah..Mungkin juga saya perlukan masa. Apa yang menyedihkan, rakan – rakan lelaki yang telah menyuarakan hasrat mereka, memutuskan persahabatan yang telah terjalin sekian lama. Bukan 2-3 kali perkara ini terjadi..

Mungkin mereka tersalah tafsir akan layanan saya... atau memang saya yang bersalah?? Sangat2 sedih…kerana saya menyayangi mereka sebagai kawan dengan ikhlas. Tetapi, saya tidak menyesal ‘ditinggalkan’ mereka kerana sudah terbukti mereka tidak ikhlas dalam persahabatan… Entahlah.. Saya harap seseorang di luar sana boleh memberikan pandangan jika telahan saya ini silap..

Pada saya, percintaan bermula daripada persahabatan. Mengambil proses yang lama…Saya ‘respek’ kepada semua pasangan bercinta kerana berani. Hahaha. Ya.. saya paranoid.. Saya takut kecewa. Benar..ada perasaan yang bercambah namun sedaya upaya saya sembunyikan kerana saya takut. Takut kecewa, takut hilang pertimbangan dan… takut melukai perasaan orang lain. Saya selalu berdoa agar ditemukan dengan pasangan hidup yang beriman…yang boleh membimbing saya di dunia dan akhirat… Amin.

Bagi saya, lelaki yang tulus cintanya ialah lelaki yang berani meluahkan perasaannya dan bercinta dengan dibatasi syariat… Menasihati saya dan menyerahkan saya 100% bawah jagaan Allah…dan jika benar cintanya luhur.. akan sunting saya dengan redha keluarga… Wah…tentu orang terfikir….saya hanya gadis 18 tahun.. tetapi sudah berfikir jauh…Hahaha. Tapi itulah hakikatnya, lelaki idaman saya. Tapi, susah juga nak kata…Nanti tup – tup saya sedang bercinta bagai nak rak dengan orang lain… Apapun, Insya-Allah, selagi boleh saya cuba elakkan..

Apapun, hargai rakan – rakan di sekeliling anda.. Luahkan perasaan sayang anda kerana kita tidak tahu adakah kita masih ada esok untuk berbuat demikian..

June 28, 2006

CERPEN GADIS BERKURUNG BIRU

Inilah karya saya yang pertama... Ketika saya di tingkatan 2.
Agak sedih kerana ada seorang Hamba Allah ini 'mencuri' karya saya dan menghantar kepada majalah sekolah...
Saya harap anda menikmati cerpen tidak seberapa ini dan penerbitan ke mana-mana terbitan silalah dengan kebenaran saya... Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui...


Kelmarin aku telah ditangkap oleh Encik Taufik – guru yang amat kubenci. Mengapa ? Merokok. Senarai kesalahan disiplinku semakin memanjang. Cuma tunggu masa untuk dibuang sekolah. Bukan sedikit peraturan sekolah yang telah kulanggar. Peduli apa aku? Memang aku tidak diperlukan di sekolah ini.

Aku mengelamun sendirian sambil ditemani kicauan burung. Tidak beberapa lama kemudian, kelihatan seorang gadis berkurung biru.Setiap warga sekolah amat mengenalinya. Nampak lembut tetapi cukup garang memarahi para pelajar. Sungguh asyik aku melihat gelagatnya..

Tiba – tiba mataku bertentang matanya. Seakan – akan muncul suatu keajaiban. Segaris kedukaan terlukis di atma matanya terlindung di sebalik awan wajahnya yang ceria. Dia cepat – cepat mengalih pandangan. Dia hanya menundukkan wajahnya, Rona merah menjalari wajahnya. Satu perasaan aneh menyelinap di ruang hatiku. Tidak pernah aku merasai perasaan ini.

Hari ini aku malas ke sekolah. Ahh...ke mana lagi harus kupergi? Rumah bagaikan neraka bagiku. Tetapi siapa yang tahu? Guru di sekolah hanya tahu memarahi anak muridnya tanpa memahami masalah mereka. Aku tidak mahu melakukan perkara jahat lagi tetapi siapakah yang pernah cuba memahamiku?. Aku seolah – olah terperangkap di dalam rantaian masalah yang kucipta sendiri. Tidak boleh berpaling lagi. Orang di sekitarku hanya tahu menghukumku tanpa belas kasihan. Tidakkah mereka sedar bahawa insan seperti aku punyai hati dan perasaan? Lumrah alam……yang hebat dijulang, dibutakan hati dengan kejayaan dunia yang tiada noktah.

Dengan hati yang berat dan langkah yang sengaja dilambat - lambatkan, aku melangkah ke sekolah sambil menghisap rokok. Tiba – tiba mataku menangkap seorang gadis berkurung biru. Dia tersenyum seolah – olah tiada apa yang berlaku. Namun dapat kulihat gelora hati seorang gadis biasa tersembunyi di sebalik mata nan indah itu. Nafasku berombak.

Kali ini sudah tentu aku dibuang sekolah. Sudah tentu. Namun begitu, puntung rokokku masih tergenggam erat dalam tanganku. Untuk menyembunyikan kegelisahanku, aku menyapa mesra gadis itu. Dia membalasnya dengan senyuman nipis. Aku merancang untuk cabut dari sekolah selepas itu.

Keesokan harinya aku hadir ke sekolah seperti biasa. Sudah menjadi amalan guru –guru tidak masuk ke kelasku. Alasannya, banyak urusan yang perlu diselesaikan. Mentang – mentanglah kelasku adalah kelas yang tercorot di dalam tingkatan. Aku cuma mengelamun. Aku pelik sehingga sekarang aku tidak dipanggil oleh guru disiplin atas kesalahanku semalam.

Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, aku terserempak dengan gadis semalam. Dia sedang sibuk mengawasi perjalanan pulang para pelajar. Lantas, aku mengambil peluang ini untuk bersemuka dengannya. Tidakku peduli pandangan jengkel pelajar lain yang melihat kami.

Lantas aku bertanya keanehan yang merasuk benakku. Dia tersenyum sambil menjawab, “Tiada guna saya melaporkannya kepada guru. Lagipun awak memang tidak akan berubah. Kesalahannya sama sahaja. Saya hanya melaporkan kesalahan jika orang itu ada harapan untuk berubah dan menyesali di atas kesalahannya itu”. Kelakianku tercabar, aku terasa disindir.

“Lagi satu, tugas pengawas seperti saya bukan hanya mencari kesalahan para pelajar sahaja. Malah, kami berperanan membentuk sahsiah remaja seperti awak.’’

“ Jadi, awak fikir saya ini pelajar bermasalah ?”

“Remaja seperti kita tidak mungkin terlepas dengan masalah. Malah semua remaja mempunyai masalahnya sendiri”
“Jadi, awak pun bermasalah?”

“Saya juga remaja biasa tapi terpulang kepada individu itu bagaimana hendak menangani masalah” Bibirnya menguntum seukir senyuman. Ikhlas.

“Ehm... Airani, sudikah awak berkawan dengan saya ?’’
“Saya tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Asalkan niatnya baik”.
“Maksud saya sahabat istimewa”

Aku sengaja mengusik perasaannya. Seolah – olah ada suatu daya yang memberi kekuatan untuk meluncurkan kata - kata itu. Memang aku tertarik padanya. Gadis itu bukan gadis biasa. Berbeza dan amat istimewa.

Sekelip mata sahaja, aku terlupa bahawa aku sudah pun mempunyai teman wanita yang tentunya bukan seorang. Berbekalkan wajah yang tampan juga kelunakan suara kurnia Ilahi, aku bisa mencairkan hati ramai gadis.

Lidahnya kelu seketika. Namun, wajahnya tiada terlukis sebarang kejutan.

“Jodoh dan pertemuan di tangan Allah. Kita hanya merancang. Lagipun, saya takut kalau para peminat awak marahkan saya. Lihat, saya berbual dengan awak pun sudah mengundang kemarahan mereka” ujarnya sambil beredar.

Bibir mungilnya itu bijak menyusun kata. Dia terus beredar sambil tersenyum. Aku tidak tahu sama ada untuk terus tersenyum atau berasa tercabar. Dia sungguh istimewa. Santun bicaranya sungguh lembut, seraut wajahnya amat ayu, keluhuran budinya dan keikhlasan hatinya menggamit rasa rindu di hati.

Bisakah pelajar bermasalah sepertiku bergandingan dengan seorang gadis pengawas atas nama cinta? Diriku bemonolog sendirian. Cinta gila. Fikirku lagi.

Hari berganti hari. Aku semakin tertarik dengan gadis itu. Aku seringkali merenungnya. Acapkali jugalah dia melarikan pandangan mtanya. Serentak dengan itu wajahnya berubah warna. Gaya kepimpinannya mencuri tumpuanku. Namun kusedar jurang perbezaan yang ketara di antara aku dan dia.Perubahan melanda diriku.

Walaupun tidak ketara, perubahanku itu mendapat sambutan dingin daripada rakan sebayaku. Biarpun tujuan aku datang ke sekolah sudah sedikit terpesong, sekurang – kurangnya aku tidak lagi ponteng sekolah. Aku gembira menghadiri sekolah. Ya, sudah tentu kerana gadis berkurung biru itu.

Airani,
Resah mendamba,
Derita yang dicipta,
Bertarungku dengan sengsara
Sayang,
Masih adakah kasih
Kaca perhiasan dunia
Adakah abadi?
Dalam kegelapan malam
Hati resah gelisah merungkai kebelengguan
Sepi, sampaikan salamku padamu
Angin, khabarkan bingkisan luka padanya
Akan terbukakah pintu hatimu
Sudiku jadi kuncinya untuk abadi…..
Setiaku hingga ke akhir hayat…

Masihku ingat cebisan mata pena kumenari khas buatnya. Sampai sekarang tiada jawapan yang pasti darinya. Namun, kuyakin hatinya milikku. Cuma sifat malu seorang gadis yang menebal dalam dirinya menghalang. Ya..malu itu perhiasan yang melengkapi seorang wanita. Aku sedar antara kami wujud garisan yang memisahkan.

Suatu hari pernah aku tunjukkan potret wajahnya yang aku lukis kepadanya. Masih ingat lagi kata - katanya agar tidak mempersia -siakan bakat seni yang ada dalam diriku. Tidak habis – habis dia memuji bakatku. Malah, telah kugubah sebuah lagu “Rindu Hadiah Cinta”, khas buatnya. Aku persembahkan lagu itu semasa pertandingan lagu puisi di sekolah. Hadiah pertama yang telah kumenangi kuhadiahkan padanya. Kataku..dialah sumber inspirasiku.

“Awak telah membuat saya sedar”
“Kenapa? Bagi saya awak amat sempurna bagi seorang gadis”
“Tidak. Tiada siapa yang sempurna dalam dunia ini. Awak tahu selama ini saya selalu memandang rendah pada budak – budak yang selalu membuat onar”
“Jadi?”
“Saya tidak menyedari keistimewaan mereka. Saya lupa bahawa Allah telah mengurniakan keistimewaan kepada setiap hamba - Nya. Setelah mengenali awak dan rakan – rakan awak, saya dapat belajar sesuatu yang berguna” Masih kuingat setiap bait kata perbualan kami melalui telefon.

Kami jarang bertemu. Tetapi kerap terserempak. Aku menjadi gelisah jika tidak melihat senyumannya. Kadang kala aku berasa amat kasihan melihatnya menahan kesedihan apabila dimarahi dan diherdik oleh gadis – gadis yang mencemburui hubungan kami. Seperti diriku, dia juga mempunyai masalah keluarga. Aku amat kagum. Sungguh kagum. Hatinya amat tabah. Tidak serapuh hatiku. Gadis yang dikurniakan sepasang mata yang jernih itu tabah menangkis badai yang datang menduga.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Setelah beberapa bulan hubungan ini terus terjalin, aku telah diajak oleh rakan – rakanku untuk ponteng sekolah. Permintaan mereka amat sukar untuk ditolak. Aku terlupa akan pesanan daripada gadis istimewa itu.

Aku hanyut di dalam arus kesesatan ini. Rakan – rakanku yang menghidu gam sudah lama meninggalkan alam realiti. Aku enggan kerana aku tahu kesannya nanti.

Ketika aku melayan keasyikan menghisap rokok dan melupakan segala masalah yang membelenggu diri, tiba – tiba kami dikejutkan dengan kedatangan polis. Tidak disangka – sangka pihak polis membuat rondaan di kawasan itu. Kami berlari bertempiaran. Malangnya, aku berjaya ditangkap. Kami dihantar pulang ke sekolah dengan amaran. Kini, lorong gelap menanti di hadapanku.

Aku hadir ke sekolah dengan memakai baju biasa untuk memulangkan buku teks. Timbul rasa bersalah dalam diriku. Serentak itu aku ternampak gadis berkurung biru tersenyum hambar ke arahku. Pasti dia tahu segala –galanya.

Ketika aku melangkah keluar dari sekolah buat kali terakhir, Airani melambai – lambai ke arahku. Dia ingin berjumpa denganku.

“Kemana awak pergi dalam seminggu ini? Saya amat risaukan awak. Percayalah, pertama kali saya melihat awak, saya amat pasti awak adalah seorang budak yang baik. Mungkin tanggapan saya salah. Namun begitu, saya tidak mahu tahu akan kesilapan awak. Saya tiada hak untuk mengadili awak. Setiap manusia biasa akan melakukan kesalahan. Apapun, saya amat berharap awak akan berubah. Insya – Allah, kita akan bertemu lagi. Namun, saya hanya ingin berjumpa dengan awak jika sudah berubah. Jika tidak, kita tidak usah bertemu lagi.” Atma matanya berkaca.

Perlahan – lahan mutiara air matanya gugur. Dia tahu aku akan pergi jauh dari sini. Ternyata aku telah mensia – siakan peluang kedua yang telah diberi. Air mataku mula bertakung menunggu untuk membasahi pipi.

Ya Allah, masih terbentangkah maghfirah-Mu untukku? Masih adakah harapan untukku membajai kasih kepadanya? Atau inikah pertemuan terakhir kami? Persoalan demi persoalan mengiringi langkahannya keluar dari bangunan penuh memori itu.

Salam....
Saya masih baru dlm blog ini...
Kenapa Orkid Melayu? Hurm... nama pena ini telah lama saya fikirkan.. Orkid melambangkan wanita yang lembut tapi optimis.. Manakala Melayu bukanlah melambangkan saya seorang 'racist' tetapi melambangkan kecintaan saya kepada bahasa kebangsaan..Minat saya yang mendalam terhadap penulisan sastera Melayu menarik saya untuk berkarya di dalam blog ini...
Berikut serba sedikit tentang saya...

> Siti Nur' Rahmah bte Muhab Shah
> 19 Februari 1988 (Pisces)
>Pelajar UTP (Business Information System)
> Bekas pelajar SMS Seri Puteri, KL
> Johor Bahru, Johor

Selamat menikmati blog saya... Komen anda amat dihargai...
 
Creative Commons License
This work is licensed under a Creative Commons Attribution-NoDerivs 2.5 License.